IKEA akan berhenti mencetak buku katalognya iaitu penerbitan tahunan terbesar di dunia, selepas 70 tahun.
Agensi melaporkan edisi terakhir yang akan dicetak adalah versi 2021 dengan 40 juta salinan.
Syarikat itu berkata, semakin sedikit orang yang melihat katalog bercetak kerana pelanggan sudah beralih kepada alternatif digital untuk berbelanja dan mencari inspirasi.
Penerbitan katalog Ikea pernah mencapai kemuncak pada tahun 2016 apabila mencetak sekitar 200 juta salinan untuk diedarkan di lebih daripada 50 pasaran.
Edisi katalog pertama dikeluarkan oleh pengasas Ikea, Ingvar Kamprad pada 1951.
Katalog itu menampilkan kerusi sayap MK, memiliki 285,000 salinan dan diedarkan di Sweden, tempat syarikat itu ditubuhkan.
Ikea dalam kenyataan memaklumkan katalognya telah menjadi penerbitan ikonik dan disukai dan faktor kejayaan penting bagi Ikea untuk menjangkau dan memberi inspirasi kepada” pelanggan.
“Menyelak halaman dengan katalog yang kita sayangi adalah emosional tetapi rasional.
”Untuk pelanggan dan rakan sekerja, katalog Ikea adalah penerbitan yang membawa banyak emosi, kenangan dan kegembiraan.
“Selama 70 tahun ia menjadi salah satu produk kami yang paling unik dan ikonik,” kata Pengarah Urusan Inter Ikea System, Konrad Gruss.
Syarikat itu telah meningkatkan pelaburan digital, kata Gruss, ketika penggunaan media dan tingkah laku pelanggan berubah.
Malah, Ikea berkata, penjualan dalam talian meningkat 45% di seluruh dunia tahun lalu.
Namun, syarikat yang mempunyai 445 kedai mengumumkan pada Oktober lalu akan membuka puluhan kedai baharu, termasuk di United Kingdom. – Malaysiapost

