Fitri Nizam
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan siasatan perkembangan baharu berkaitan kes Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dituduh menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2013.
SPRM berkata, kertas siasatan berkenaan akan dikemukakan semula kepada Jabatan Peguam Negara selepas siasatan itu selesai.
Perkembangan itu diberikan SPRM susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.
“Merujuk kes sama, SPRM difahamkan terdapat perkembangan baharu yang dikemukakan pihak tertuduh serta satu laporan dibuat terhadap seorang saksi kes ini yang memerlukan siasatan lanjut oleh SPRM.
“SPRM akan memulakan siasatan dengan perkembangan baharu itu dan mengemukakan semula kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pertimbangan setelah semuanya selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
SPRM menegaskan, satu lagi kes terhadap Tengku Adnan masih menunggu keputusan dan tiada kena-mengena dengan keputusan mahkamah hari ini.
“Keputusan melepas tanpa membebaskan ini tidak bermaksud beliau dibebaskan sepenuhnya, namun masih boleh dituduh pada bila-bila masa sekiranya diberi keizinan mendakwa daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Mahkamah Tinggi di sini, melepas tanpa membebaskan Tengku Adnan daripada tuduhan menerima rasuah RM1 juta.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memutuskan melepas tanpa membebaskan Tengku Adnan daripada tuduhan menerima rasuah RM1 juta, selepas membenarkan permohonan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim.
Mohd Nazlan dalam penghakimannya, berkata selepas mendengar hujahan pendakwaan bahawa terdapat perkembangan baharu dan keperluan menyiasat, maka mahkamah mengarahkan tiada pembebasan penuh diberikan mengikut Seksyen 254(3) Kanun Acara Jenayah. – Malaysiapost

