[PARLIMEN] Kerajaan tidak berhasrat memansuhkan pengajaran dan pembelajaran tulisan jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK).
Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berkata, kerajaan tetap meneruskannya selari dengan keputusan yang telah dibuat jemaah menteri pada 14 Ogos, tahun lalu.
“Inilah keputusan dibuat Jemaah Menteri dan pada dasarnya kita mengikut arahan diputuskan oleh Jemaah Menteri.
“Elemen pengukuhan jawi dalam kalangan murid dilaksanakan melalui aktiviti pengayaan seperti membina modul pemulihan Jawi dengan lebih mudah dan menarik untuk murid yang kurang menguasai Jawi,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Sungai Besar itu menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan meneruskan pembelajaran tulisan jawi di SJK dan SK atau sebaliknya. -Malaysiapost

