PAS tegas pendiriannya untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak, bagaimanapun enggan menyertai kerajaan baharu yang akan dibentuk.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama PAS dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) akan diteruskan di Perak dan peringkat nasional.
Katanya, mengenai situasi di Perak, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi kedua-dua parti.
“MN akan bermesyuarat dalam waktu terdekat mengenai perkembangan semasa isu di Perak.
“Buat masa ini belum ada apa-apa rundingan antara Umno dan PAS mengenai perkara berkenaan, walaupun kita ada dengar Umno meminta kita untuk terus bersama mereka,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Kemelut politik di Perak berlaku selepas Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, hilang sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Umno menerusi Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta bagi sembah maklum pendirian parti berhubung kemelut terkini politik negeri itu.
Ahmad Zahid menjelaskan, Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan untuk membentuk jajaran baharu politik di Perak, namun sebolehnya mahu mengekalkan PN. – Malaysiapost

