Fitri Nizam
BELANJAWAN Johor 2021 yang diluluskan hari ini, menunjukkan kesepakatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN) dalam memastikan kestabilan, sekali gus melancarkan rancangan pemulihan ekonomi pasca Covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau hadir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selaku Adun Gambir.
Katanya, pada hari terakhir DUN Johor, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad telah menggulung perbahasan RUU Perbekalan 2021 sebelum disusuli dengan pengundian.
“Alhamdulillah, belanjawan defisit berjumlah RM248.14 juta itu diluluskan dengan sokongan majoriti ahli dewan.
“Ini menunjukkan kesepakatan semua Adun di bawah PN dalam memastikan kestabilan kerajaan negeri, sekali gus memudahkan perancangan pemulihan ekonomi pasca pandemik dilaksanakan sebaik-baiknya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Muhyiddin berkata, selaku Perdana Menteri, beliau melihat belanjawan yang diluluskan mampu membantu usaha merancakkan semula pemerkasaan ekonomi negeri yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.
“Ini selaras dengan tiga asas utama yang terangkum dalam belanjawan tersebut, iaitu pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, memulihkan ekonomi dan membina daya tahan fiskal serta ekonomi negeri,” katanya.
Beliau turut berkesempatan singgah di majlis penyerahan Buku Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030, dokumen rujukan induk bagi tujuan perancangan pembangunan negeri meliputi aspek sosial dan ekonomi kepada pegawai-pegawai daerah yang diadakan di ruang legar bangunan DUN.
“Selain menandatangani buku tersebut, saya turut menyerahkan dokumen itu kepada Pengarah Pembangunan Johor, Abdul Halim Hamzah sebagai simbolik penyerahan kepada pegawai daerah seluruh negeri Johor,” katanya. – Malaysiapost

