Muhyiddin terpaksa melutut kepada Umno

0
2

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa melutut kepada Umno untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Menurut bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, ia kerana parti dipimpin Muhyiddin adalah kecil dan lemah.

Beliau berkata, kelemahan itu makin ketara apabila Bersatu hilang kepimpinan di Johor dan Kedah.

“Parti kecil yang merasakan mereka kuat, sebenarnya lemah. Mereka hilang kuasa di Johor, hilang kuasa di Kedah dan yang terbaru di Perak. Yang tinggal dan bersisa hanya di Sabah, itupun tunggu masa sahaja.
Semuanya ditentukan Umno.

“Kuasa terakhir adalah pada Perdana Menteri, namun keabsahan bilangan sokongan turut bergantung kepada Umno. Muhyiddin akhirnya terpaksa melutut kepada umno, melihat begitu saja babak Timbalan Presidennya dijatuhkan dan negeri pimpinan Bersatu dirampas satu persatu.

“Benarlah kata Datuk A Kadir Jasin, umpama ular lidi yang cuba memakan ular sawa.

“Langkah politik terakhir Muhyiddin adalah dengan cadangan darurat kepada negara, syukur negara tidak dikorbankan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada Februari lalu, Bersatu bertindak membawa keluar dari Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang.

Tindakan itu turut disertai bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kumpulannya bertindak meninggal PKR.

Melalui “Langkah Sheraton” pada Mac lalu, Bersatu menjalinkan kerjasama dengan BN, PAS, GPS dan parti dari Sabah membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Adly berkata, parti Umno yang kuat hanya berjaya ditumbangkan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Tapi sayang, kuasa rakyat itu dikhianati. Ada parti politik merasakan mereka boleh menentukan masa depan negara dengan membelakangkan mandat rakyat.

“Maka di peringkat awal Langkah Sheraton, nampaklah “mereka” cerdik, dapat kedudukan Perdana Menteri, Menteri Kanan, Menteri dan kekal di Perak.

“Kemuncaknya adalah apabila mereka berjaya menubuhkan PN dan kejayaan yang terbaru dengan merampas Sabah dari tangan parti Warisan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here