POLIS akan menamatkan semua sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara bermula tengah malam ini.
Ia selepas kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menarik balik larangan rentas negeri dan daerah.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar berkata berikutan itu penutupan kesemua SJR akan dilaksanakan bermula jam 12.01 tengah malam ini.
“Bagaimanapun, SJR untuk Operasi Benteng (Op Benteng) akan tetap diteruskan.
“Tumpuan kita selepas ini adalah meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya seperti dilaporkan BH.
Abdul Rahim berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus bersama PDRM melaksanakan tugasan di SJR Op Benteng yang terus dilaksanakan di seluruh negara.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), bermula esok.
Susulan itu, katanya, polis tidak lagi akan melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguatkuasakan pematuhan SOP. – Malaysiapost

