Muhammad Mustakim Ramli
BENDERA kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dikibarkan separuh tiang bagi memberi penghormatan kepada Syafiq Ahmad yang kehilangan ahli keluarga dalam nahas jalan raya, awal pagi tadi.
Menerusi kenyataan di Facebook, JDT memaklumkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menghantar Setiausaha Sulit Baginda bersama pegawai agama Jabatan Agama Islam Negeri Johor ke Pulau Pinang untuk membantu penyerang itu.
“Tunku Ismail juga telah bertitah untuk bendera JDT di Stadium Sultan Ibrahim diturunkan separuh tiang, stadium diterangi dengan lampu putih dan mesej takziah dipaparkan di skrin besar sebagai tanda penghormatan kepada Syafiq sekeluarga.
“Upacara Tahlil juga akan diadakan selama tiga hari,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, baginda yang juga pemilik JDT turut meminta orang ramai berhenti menyebarkan gambar kemalangan berkenaan.
Pemain kebangsaan itu terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari awal, pagi tadi.
Dalam nahas di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap di Nibong Tebal itu, anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2, turut cedera ringan, namun isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, dilaporkan parah. – Malaysiapost

