PAKATAN Harapan (PH) Perak sedia bekerjasama dengan Umno bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil di Perak.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, demi kepentingan rakyat, PH bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Umno yang boleh membantu membentuk kerajaan pelbagai kaum, kukuh dan stabil.
“Saya terbuka untuk perbincangan yang membina dan kami sudah bersedia,” katanya dalam aplikasi WhatsApp yang dikongsi bersama media hari ini.
Kor Ming berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu dan Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan untuk membentuk jajaran baharu politik di Perak.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata beliau tidak menolak kemungkinan Umno akan membentuk kerajaan baharu Perak yang turut membabitkan DAP.
Katanya, gabungan baharu itu mungkin berlaku sekiranya jajaran sebelum ini membabitkan PAS dan Bersatu gagal mencapai kata sepakat.
“Kita akan lihat semua kemungkinan… saya sebut kita akan kekalkan jajaran terdahulu tetapi jika itu tidak dapat dilakukan tentu ada penyesuaian yang perlu dilakukan untuk penjajaran yang baharu.
“Semua kemungkinan itu akan ada itu tertakluk kepada keputusan muktamad yang akan dilakukan oleh pihak parti,” katanya selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta Ipoh.
Sementara itu Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, keutamaan PH sekarang ialah menjaga kepentingan rakyat yang menderita akibat kesan Covid-19.
“Kami tidak akan menyertai Umno. Amanah dan PH bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti, termasuk Umno untuk membentuk kerajaan yang kuat dan stabil di Perak,” katanya.
Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Selvador Rizal Mubarak dalam jawapan ringkasnya pula berkata, mereka bersedia demi untuk kepentingan rakyat. – Malaysiapost

