BAPA kepada pemain kebangsaan, Syafiq Ahmad, Ahmad Ibrahim memaklumkan anaknya itu cuba mengelak sesuatu sebelum terbabit dalam kemalangan awal pagi tadi.
Ahmad, 56, berkata dia mendapat panggilan daripada individu tidak dikenali memberitahu anak sulungnya terbabit kemalangan, namun tidak mempercayainya.
“Saya agak keliru dan tidak percaya dengan berita yang diterima kerana Syafiq berada di Johor tetapi selepas bertenang dan diyakinkan dengan beberapa maklumat, saya yakin ia adalah anak saya lalu ke lokasi kemalangan.
“Ketika ini Syafiq dalam keadaan sangat terkejut dan trauma dengan kejadian yang menimpa ahli keluarganya.
“Melalui apa yang dimaklumkan Syafiq kepada saya, dia cuba mengelak sesuatu sebelum mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan itu,” katanya seperti dilapor BH.
Ahmad berkata, dia sepatutnya bertolak ke Johor pada 11 Disember ini untuk menziarah cucu pertama lelakinya itu, namun ditunda ke hujung bulan berikutan lokasi kediamannya di Bayan Baru, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Saya dan isteri serta anak-anak yang lain teruja untuk melawat cucu lelaki pertama kami dan adik Syafiq juga sudah mengambil cuti untuk menziarahinya di Johor.
“Namun sebaliknya berlaku dan walaupun sedih kami sekeluarga reda dengan ujian ini,” katanya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, berkata kemalangan itu hanya membabitkan kenderaan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
“Kenderaan itu dalam perjalanan menghala ke utara sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan dan terbalik.
“Susulan kemalangan itu, tiga maut termasuk seorang bayi manakala tiga lagi cedera,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

