Saarani akhirnya bersuara punca krisis Perak

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PELANTIKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Perak antara bibit awal krisis politik yang melanda negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad, berkata suasana yang cuba dibina di Perak tidak dihargai dengan baik apabila satu demi satu tindakan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu didakwa membelakangi semangat kemufakatan.

“Saya mendengar penjelasan Menteri Besar kepada soalan pemberita berkaitan dengan pelantikan Adun Pengkalan Hulu sebagai Setiausaha Politik beliau.

“Meskipun saya cuba mengelak membuat kenyataan terbuka apabila Menteri Besar melantik seorang dari ahli YB (Yang Behormat) dari Umno, tetapi beliau sendiri secara terbuka menyatakan beliau tidak perlu mendapat kebenaran dari Umno.

“Perlu saya jelaskan ketika persetujuan untuk membentuk kerajaan, ketiga-ketiga pihak iaitu Bersatu, Umno dan PAS telah membuat persetujuan bertulis untuk saling hormat menghormati.

“Ini termasuk dalam urusan pelantikan setiap wakil sama ada sebagai ahli majlis mesyuarat (Exco), ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saarani berkata sewajarnya pelantikan mana-mana Adun, atau pemimpin Umno dalam kerajaan hendaklah dibincang dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.

“Harus diingat, kerajaan Perak hari ini dibentuk atas semangat setiakawan serta persefahaman bagi memastikan Perak terpelihara daripada ancaman politik yang tidak sihat. Tanpa semangat setiakawan kestabilan politik negeri ini akan terancam.

“Bagaimanapun, nampaknya persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan Kerajaan Negeri Perikatan Nasional sudah tidak dihormati.

“Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggari. Sebelum ini pun, ada cubaan untuk mengubah senarai nama Exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Saarani menegaskan, Umno dan Barisan Nasional Perak tidak tamak kuasa seperti didendangkan setiap kali mereka bersuara.

“Hakikatnya, kami mempunyai 25 Adun, jumlah paling besar dalam Dewan Undangan Negeri. Namun atas ketaatan dan semangat tolak ansur, kami tidak menarik sokongan apabila jawatan Menteri Besar diberi kepada Bersatu.

“Namun janganlah sikap keterbukaan, ketaatan serta tindakan berdiam diri kami selama ini dianggap sebagai kelemahan dan Umno Perak boleh diperkotak-katik sehingga satu persatu persetujuan dimeterai bersama sebelum ini cuba dikhianati.

“Pendekatan berdiam diri selama ini diambil bagi mengelak rakyat menjadi mangsa dalam waktu pandemik Covid-19 ini. Hentikanlah bermain politik dan bersandiwara serta tumpukan kepada kebajikan rakyat yang menderita sekarang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here