UMNO Perak dijangka memutuskan calon Menteri Besar dalam mesyuarat khas badan perhubungan negeri yang dipercayai berlangsung malam ini.
Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata beliau difahamkan kepemimpinan Umno negeri masih dalam rundingan dalam menentukan calon untuk diangkat sebagai Menteri Besar.
“Malam ini Umno difahamkan akan mengadakan mesyuarat perhubungan khas, tetapi ini tidak melibatkan istana, hanya pemimpin Umno dan saya hanya maklumkan apa yang berlaku,” katanya kepada media di Ipoh hari ini.
Beliau turut memaklumkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadap Sultan Nazrin Shah jam 10 pagi esok.
Katanya, ketua-ketua parti dalam Pakatan Harapan (PH) Perak serta Pengerusi Umno negeri, Datuk Saarani Mohamad mengadap Sultan Nazrin Shah pagi tadi bagi memberi pandangan dan pendirian masing-masing.
“Segala pandangan itu didengari tetapi bukanlah tanggungjawab Sultan untuk campur tangan dalam urusan setiap parti dan baginda hanya boleh nasihat carilah formula terbaik untuk tubuhkan kerajaan dan pimpinan yang baharu, itu saja,” katanya.
Pagi tadi, Pengerusi DAP Perak yang juga Adun Aulong, Nga Kor Ming bersama Pengerusi PKR negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak serta Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi tiba kira-kira jam 10.45 pagi di Istana Kinta untuk mengadap Sultan Nazrin Shah, manakala Saarani mengadap baginda pada jam 11.30 pagi.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Adun Chenderiang dan Timbalan Presiden Bersatu mengumumkan akan berundur daripada jawatannya.
Ia setelah beliau gagal mendapat sokongan majoriti wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undi percaya yang diusulkan Adun Pengkalan Baru (Umno), Abdul Manaf Hashim.
Ahmad Faizal hanya mendapat sokongan 10 Adun berbanding 48 yang menolak selain satu undi rosak atau berkecuali. – Malaysiapost

