MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersedia melepaskan jawatannya dalam pentadbiran negeri itu sekiranya ada lantikan baharu diperkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Katanya, ketika ini beliau masih berfungsi sebagai Menteri Besar seperti biasa sehingga seorang Adun dapat membuktikan mempunyai mandat majoriti dewan.
“Apabila Sultan Perak yakin perkenan mandat (sokongan) yang seseorang itu terima, tentunya saya akan meletakkan jawatan dan benarkan transisi berjalan baik.
“Bila waktu itu tiba, tanggungjawab saya kepada negeri adalah meletakkan jawatan,” katanya seperti dilapor BH.
Mengulas status dua Exco Bersatu, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi dan Datuk Abdul Yunus Jamahri, Ahmad Faizal berkata, hal itu akan dibincang berlandas kehendak dan keperluan berhubung mandat dan sokongan untuk tubuhkan kerajaan baharu.
Beliau turut mengulas apabila ditanya berkenaan pihak pembangkang yang menggesa beliau segera meletakkan jawatan.
“Bagi saya selesaikan dahulu… aktiviti operasi kerajaan perlu diteruskan.
“Jadi saya nasihat pada pembangkang, you’ve got what you wanted already (awak sudah dapat apa nak), jadi tak payahlah sampai tahap hendak hentikan pentadbiran kerajaan negeri untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.
Tambahnya, ketika ini terdapat beberapa kawasan di Perak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri membantu rakyat.
Sementara itu, Ahmad Faizal mempersoalkan tindakan Umno sebagai keperluan yang mendesak sehingga mengadai prinsip kemuafakatan yang dibina melalui Perikatan Nasional (PN).
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berkata undi percaya hanya membabitkan jawatan Menteri Besar Perak sahaja tanpa mengubah status kerajaan negeri, beliau berkata, setiap parti mempunyai kehendak dan keperluan.
“Bagi Bersatu contohnya, kami nak seberapa banyak jawatan bagi parti begitu juga PAS dan Umno tetapi keperluan bagi kita adalah tubuhkan kerajaan yang stabil.
“Maka kehendak itu kadang-kadang perlu kita korbankan untuk bekerjasama dalam sebuah kerajaan yang stabil. Jadi benar itu kehendak Umno.
“Tapi apakah itu satu keperluan mendesak sehingga perlu kita menggadaikan apa juga prinsip kemuafakatan yang telah kita bina melalui PN? Jadi tepuk dada tanya sendiri,” katanya.
Ditanya sama ada Bersatu Perak akan menyokong kerajaan baharu, Ahmad Faizal berkata segala keputusan akan dibuat secara konsensus.
“Saya yakin dengan disiplin parti kami termasuk rakan-rakan dari bebas dan saya kira, kami bagi pihak Bersatu akan membuat keputusan dengan memikirkan juga kepentingan bersama rakan-rakan dalam PN,” katanya. – Malaysiapost

