Bersatu kesal apa berlaku dalam Sidang DUN Perak – Hamzah

0
2

Nurul Huda Abhar

BIRO Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam mesyuaratnya menzahirkan perasaan kesal dengan apa yang berlaku dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Bersatu ambil maklum bahawa Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah ditolak oleh Umno dan Pakatan Harapan (PH).

“Bersatu sentiasa berpegang teguh dengan prinsip persefahaman dan kerjasama yang terbentuk antara parti Perikatan Nasional (PN) sejak awal tahun ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Sehubungan itu, Bersatu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu, tiga Adun PAS, seorang Adun Umno dan dua Adun Bebas yang telah menyokong Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap Menteri Besar Perak.

“Bersatu akan memantau situasi semasa dan akan terus bersama PAS dan teman parti anggota PN yang lain dalam membuat keputusan selanjutnya,” ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Faizal tewas dalam usul undi percaya di Sidang Dewan Undangan Negeri Perak pagi tadi.

Hanya 10 daripada 59 Adun menyokong usul itu berbanding 48 yang menolak, manakala satu undi rosak atau berkecuali.

Ahmad Faizal dilihat memasuki pekarangan Istana Kinta, Ipoh bagi mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah jam 5.15 petang tadi.

Beliau diiringi Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh dengan menaiki kenderaan, Toyota Camry.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid memasuki pekarangan istana pada jam 4.40 petang bagi menyembah maklum berhubung keputusan usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal yang diputuskan DUN pagi tadi.

Ahmad Faizal dalam kenyataan selepas selesai sesi menghadap berkata, beliau hanya memaklumkan perkara yang berlaku kepada baginda.

Susulan itu, katanya, Tuanku akan mengadakan pertemuan bagi memilih Menteri Besar yang baharu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here