Remaja parah dibaham buaya

0
3

SEORANG remaja lelaki berusia 16 tahun cedera parah akibat dibaham buaya di Sungai Kampung Mengkabong di Tuaran, Sabah, semalam

Azlan Arif Abdullah cedera di perut dan beberapa anggota badan selepas diserang reptilia sepanjang kira-kira 1.5 meter itu sekitar jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata siasatan awal mendapati mangsa serta tujuh rakannya sedang mencari lokan dan siput di kawasan tebing sungai itu.

“Bagaimanapun, seekor buaya dari dasar sungai di sekitar paya bakau itu tiba-tiba muncul dan menggigit mangsa untuk ditarik ke dasar sungai.

“Rakan mangsa yang menyedari jeritan mangsa kemudiannya cuba membantu menarik dia sebelum reptilia berkenaan melepaskan gigitan lalu hilang di sungai berkenaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Menurut Hamizi, selain tinjauan lokasi, pihaknya turut melawat mangsa yang masih menjalani rawatan di wad kecemasan hospital Tuaran.

“Pihak perubatan memaklumkan mangsa akan dihantar ke hospital Papar atau Hospital Kota Belud untuk menjalani rawatan lanjut.” -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here