SEORANG lelaki warga Bangladesh maut selepas dihempap tiang cerucuk yang runtuh di sebuah tapak pembinaan di Kawasan Perindustrian Valdor, Simpang Ampat, Batu Kawan, Pulau Pinang, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Md Shriful Islam, 33, bersama rakan sekerjanya warga Indonesia, 50, dilaporkan sedang berkerja sebelum binaan konkrit itu menghempap mereka berdua.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan untuk mengeluarkan mangsa tersepit.
Katanya, mangsa pertama iaitu warga Indonesia berjaya dikeluarkan orang awam sebelum anggota bomba tiba.
“Mangsa segera dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk rawatan.
“Manakala mangsa kedua iaitu warga Bangladesh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayatnya berjaya dikeluarkan pada 11.02 pagi sebelum dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat dan operasi ditamatkan pada 11.32 pagi,” katanya. -Malaysiapost

