Islam larang pandang hina pesakit AIDS

0
3

SEPERTIMANA Virus Covid-19, virus HIV juga mempunyai kaedah-kaedah pencegahan yang telah digariskan oleh Islam.

Dalam khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk ‘AIDS: Beringat Sebelum Terlambat’ menyatakan
Islam menganggap perlakuan zina atau perhubungan sejenis sebagai dosa besar.

Malah Islam turut melarang apa-apa perbuatan yang boleh mendorong ke arah perbuatan zina seperti pergaulan bebas lelaki dan wanita, tidak menutup aurat dan sebagainya.

Konsep inilah yang dinamakan dengan sadd al-dzaraai’ (menutup pintu-pintu kerosakan).

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Israa’ ayat 32)

Islam juga mengajar kita untuk tidak memandang hina kepada sesiapa sahaja. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis Mafhumnya: “Janganlah engkau menghina seorang pun”. (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi)

Antara cabaran besar yang dihadapi oleh penghidap AIDS ialah persepsi negatif masyarakat terhadap mereka. HIV/AIDS yang dikategorikan sebagai penyakit ini tidak hanya memerlukan rawatan klinikal semata-mata.

Kebanyakan Orang Yang Hidup Dengan AIDS akan turut terjejas dari sudut kerohanian/ spiritual seperti tekanan jiwa berdepan saat kematian, cabaran berdepan persepsi negatif dari masyarakat, rasa putus asa dan sebagainya.

Para pesakit HIV/AIDS ini amat memerlukan sokongan dan dukungan daripada para pemimpin masyarakat, para agamawan dan semua pihak dalam meneruskan kehidupan.

Masyarakat juga perlu dididik untuk sentiasa menyantuni dan berkasih sayang terhadap golongan ini.

Justeru, di samping kita memelihara diri dan keluarga, kita perlu membantu para pesakit HIV/AIDS untuk menjalani hidup secara lebih positif dan baik.

Janganlah kita memandang hina antara satu sama lain kerana kita tidak mengetahui pengakhiran hidup kita.

Sama-samalah kita meneruskan amalan amar ma’ruf nahy munkar dan beristiqamah menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim sebenar agar negara terus dirahmati, Insya-Allah.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.

Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah al-Hujurat ayat 12) َ -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here