Saya terima dengan redha – Ahmad Faizal

0
2

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau menerima dengan redha keputusan DUN Perak hari ini yang menolak usul undi percaya terhadapnya.

Dalam ucapan yang disampaikan sejurus selepas keputusan undi percaya dibacakan, Ahmad Faizal berkata, beliau menerima ketetapan yang dibuat ADUN Perak dengan hati terbuka.

ADUN Chenderiang itu berkata beliau berjanji peralihan kuasa menteri besar akan berjalan lancar.

“Saya terima dengan redha, saya fikir dalam suasana kita menghadapi keadaan tidak menentu, masalah pekerjaan di kalangan rakyat, masalah politik ini tidak perlu kita panjangkan…

“Saya selaku menteri besar ingin memberi komitmen untuk memastikan transisi kepada kerajan yang baharu dibuat dengan berhemah demi kepentinga rakyat,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, beliau mengucap jutaan terima kasih kepada semua barisan ADUN dan rakan seperjuangan sepanjang menjadi Menteri Besar.

“Saya harap kerajaan negeri dapat meneruskan usaha untuk rakyat dan bukan untuk membawa kepentingan diri sendiri .

“Saya berbangga berkhidmat kepada negeri dan menunjung kasih kepada Sultan Perak atas kesempatan menabur bakti kepada baginda,” katanya.

Speaker Dewan Undangan Negeri Mohamad Zahir kemudian menangguhkan sidang DUN Perak sehingga ke jam 2 petang pada 9 Disember ini.

Terdahulu, Sidang DUN Perak hari ini menolak usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal.

Penolakan usul dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baru, Datuk Abdul Manaf Hashim, itu selepas hanya 10 daripada 59 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong undian dilakukan, manakala 48 menolak dan satu lagi undi rosak.

Ahmad Faizal memerlukan sekurang-kurangnya 30 undi untuk kekal sebagai menteri besar.

Untuk rekod, Umno memiliki kerusi terbanyak dalam DUN Perak dengan 25 kerusi, diikuti DAP (16), Bersatu (6), Amanah (5) dan masing-masing tiga dimiliki PKR dan PAS, selain satu milik wakil bebas. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here