Muhammad Mustakim Ramli
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi tiga pandangan mengapa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar menambah baik skim i-Sinar dengan tidak lagi mengenakan apa-apa syarat bagi mana-mana pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, skim i-Sinar mempunyai kekurangan yang mengundang kemarahan dan kekecewaan sebilangan besar pencarum di mana hampir 99 peratus komen di Facebook beliau berbunyi i-Kecewa, i-Kencing dan i-Marah.
Najib berkata, beliau percaya pembetulan ini wajar sebab yang pertama, Kerajaan PN patut letakkan kepercayaan pada rakyat sebab rakyat sendiri yang tahu jika mereka sedang berdepan dengan cabaran kewangan dan rakyat juga faham mereka tidak akan sia-siakan simpanan masa tua mereka jika tiada keperluan mendesak.
“Adakah ianya logik bahawa ahli yang pendapatannya RM10,000 sebulan yang turun 30 peratus menjadi RM7,000 sebulan dianggap terjejas tetapi ahli yang pendapatannya RM2,000 sebulan yang turun 20 peratus menjadi RM1,600 tidak dikira sebagai terjejas?
“Kerajaan juga tidak akan tahu berapa jumlah beban tunggakkan hutang atau liabiliti dihadapi ramai akibat pendapatan yang tidak menentu yang telah bertimbun setiap bulan sejak pandemik bermula 10 bulan lalu.
“Sebab itu, ianya bukan tanggug jawab kerajaan untuk membuat andaian ahli mana yang sedang terdesak dengan meletakkan syarat arbitrari bahawa pendapatan ahli perlu berkurang 30 peratus sebelum layak.
“Sebaliknya, tanggung jawab kerajaan ialah untuk mempermudahkan bagi rakyat dan untuk mencari jalan untuk memastikan simpanan KWSP dapat dipulihkan pada masa tersingkat setelah pandemik Covid berakhir,” katanya.
Bagi pandangan beliau yang kedua, Najib berkata rakyat yang sedang lemas sekarang tidak mampu tunggu tiga bulan lagi sebelum diberi pelampung.
“Pengumuman KWSP semalam bagi kategori 2 bermaksud; ramai yang terdesak sudah tunggu sejak bulan Oktober tetapi perlu tunggu lagi sehingga 11 Januari 2021 sebelum dibenarkan memohon dengan pelbagai bukti dokumen.
“Kemudian kena tunggu lagi dua hingga tiga minggu untuk dimaklumkan KWSP jika permohonan layak atau tidak. Jika layak, bayaran hanya akan dibuat sebelum akhir bulan berikutnya iaitu pada akhir bulan Februari. Sekarang baru permulaan bulan Disember.
“Adakah ianya munasabah bagi mereka yang tengah lemas untuk tunggu tiga bulan lagi sehingga akhir bulan Februari sebelum mendapat pelampung sedangkan mereka sudah berharap sejak bulan Oktober iaitu lima bulan dahulu?,” katanya.
Sementara itu, Najib berpandangan seharusnya elak rakyat menyerbu pejabat-pejabat KWSP pada ketika risiko penularan Covid masih wujud.
Katanya, sejak semalam, media melaporkan bahawa pejabat KWSP sudahpun sesak akibat diserbu ahli.
“Bayangkan berapa ramai lagi ahli yang akan terdedah kepada risiko dijangkit Covid jika mereka terpaksa beratur di pejabat KWSP untuk serah bukti dokumen jika i-Sinar masih bersyarat?
“Jika skim i-Sinar tidak lagi perlukan sebarang bukti dokumen untuk diserahkan kepada KWSP, saya percaya kesesakkan di pejabat KWSP seluruh negara mampu dielakkan atau diturunkan. Risiko tercetusnya kluster Covid KWSP juga berkurang.
“Jika empat juta ahli sahaja di bawah katergori ke-2 skim i-Sinar diperlukan untuk menyerah tiga helai dokumen sebagai bukti pendapatan mereka telah berkurang maka KWSP perlu memproses sebanyak 12 juta dokumen,” katanya.
Najib berkata apabila skim i-Sinar tidak lagi bersyarat maka semua kesusahan dan beban kepada ahli dan staff kaunter KWSP dapat dielakkan sebab kebanyakkan ahli akan memohon dalam talian melalui perkhidmatan i-Akaun tanpa hadir di pejabat KWSP.
“Justeru, proses pengeluaran akan menjadi jauh lebih lancar dan ahli tidak perlu lagi tunggu sehingga tiga bulan sebelum menerima bayaran lump-sum pertama.
“Jadi, saya harap kerajaan PN akan membuat satu kali lagi penambahbaikan kepada skim i-Sinar supaya ianya tidak bersyarat dan tempoh untuk pemohon menerima bayaran pertama dapat disingkatkan dari tiga bulan ke maksimum satu bulan,” katanya. -Malaysiapost

