PM usul naikkan bantuan bulanan JKM sehingga RM1,000

0
1

Nurul Huda Abhar

TAN Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan cadangan agar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah antara RM200 dan RM300 dinaikkan ke RM1,000.

Perdana Menteri berkata, ia selepas mengambil kira keadaan ekonomi serta kos sara hidup semasa.

Muhyiddin berkata, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang turut tersenarai dalam kumpulan masyarakat yang layak untuk menerima bantuan akan mendapat faedah dari kenaikan tersebut.

“Saya akan pastikan cadangan ini dapat dilaksanakan segera. Insya-Allah.

“Mengikut rekod JKM, bilangan OKU berdaftar di Malaysia setakat ini adalah berjumlah 581,265 orang. Saya harap kempen mendaftarkan OKU dipergiatkan lagi bagi memastikan tiada OKU yang tercicir dan tidak diberikan perhatian.

“Perkara ini sangat penting untuk menjamin golongan ini tidak terlepas daripada menerima bantuan Kerajaan, terutamanya ketika situasi sukar penularan pandemik Covid-19,” tulisnya di Facebook sempena Hari OKU Sedunia 2020, hari ini.

Menurut Muhyiddin, sebagai kerajaan prihatin beliau akan memastikan golongan OKU mempunyai hak dan peluang sama rata untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain.

Beliau juga telah beberapa kali turun padang menemui golongan OKU ketika kunjungannya ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak serta PPR Taman Sri Keramat, Putatan, Sabah sebelum ini.

“Saya doakan semoga golongan OKU diberikan tempat sebaiknya dalam kalangan masyarakat, seterusnya dapat sama-sama berperanan dalam pembangunan negara,” ujarnya.

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan beberapa inisiatif yang boleh membantu golongan OKU ketika pembentangkan Belanjawan 2021 baru-baru ini, antaranya menaikkan bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja daripada RM250 ke RM300.

Selain itu, turut diumumkan kenaikan kadar elaun pekerja OKU RM400 ke RM450 serta bantuan penjagaan OKU daripada RM350 ke RM500. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here