
SELEPAS 25 tahun menjadi wakil rakyat, pemimpin DAP, Datuk Teng Chang Khim mengumumkan akan bersara dari politik dan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor itu mengumumkan persaraannya menerusi Facebook hari ini.
Teng yang juga ADUN Bandar Baru Klang berkata, beliau akan menjalankan tugasnya tetapi tidak akan bertanding untuk kerusi Bandar Baru Klang.
“Saya umumkan tidak akan mengambil bahagian dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP tahun ini dan pemilihan jawatankuasa negeri DAP Selangor yang akan datang.
“Saya juga tidak akan bertanding semula selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor.
“Saya sudah menyumbang separuh daripada usia saya dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam hantaran itu.
Teng, 57, memaklumkan, beliau akan terus membantu DAP walaupun bersara daripada barisan hadapan dalam politik.
“Untuk merealisasikan cita-cita murni untuk membangun masyarakat yang adil dan saksama seperti yang dicita-citakan oleh pengasas parti, kita tidak hanya perlu tetap teguh dalam menegakkan pendirian serta prinsip parti tetapi juga memiliki kemampuan dan pengetahuan dalam pentadbiran serta kebajikan untuk terus gigih, hebat, kreatif, pragmatik, tangkas dan tegas.
“Saya sudah kumpul sejumlah besar pengalaman setelah banyak kejayaan dan kegagalan serta saya akan gembira untuk berkongsi, jika dan bila diperlukan untuk merealisasikan hasrat mewujudkan Malaysia baharu,” katanya.
Beliau menambah, walaupun tidak aktif dalam politik namun beliau akan terus menyokong rakan seangkatan.
“Saya mempunyai kira-kira dua tahun lagi perkhidmatan dan saya akan terus berkerja sehinggalah pembubaran DUN,” katanya.
Teng dipilih sebagai Adun Selangor pada 1995 dan merupakan satu-satunya wakil DAP di Dun negeri itu selepas pilihan raya umum 1999. -Malaysiapost
Foto Kredit: The Star
