Nilam Oshman
PENULARAN wabak Covid-19 dalam negara sehingga mengakibatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, turut memberi kesan besar kepada golongan peniaga orang kurang upaya (OKU).

Sudahlah bergelar insan istimewa, mereka yang mencari rezeki dengan berniaga sendiri tambah tertekan apabila pendapatan berkurangan, malah lebih menyedihkan ada yang terpaksa menutup perniagaan.
Itulah yang dialami pengusaha rumah urut orang buta ‘Massage Station’, Mat Rodzi Hanafi, 54, individu buta yang berdepan risiko pusat urutnya muflis.
Menanggung tiga anak yang semuanya masih menuntut di universiti, Mat Rodzi berkata sejak PKP dilaksanakan dan kini PKPB pula, kehadiran pelanggan merosot dengan mendadak menyebabkan dia berdepan kesukaran.
Sejak wabak maut itu melanda, beliau yang mengusahakan dua pusat urut di Brickfields termasuk satu yang baru dibuka Februari lalu, kini tidak mampu membayar bil serta sewa bulanan.
“Kalau ikutkan memang kena tutup (pusat urut) sebab tak dapat menanggung kos, tapi masih bertahan.
“Kalau tutup saya fikir macam mana dengan 15 pekerja OKU saya yang berumur 20 hingga 60 tahun, mereka semua sama seperti saya buta dan perlu menanggung keluarga. Macam mana nasib mereka,” katanya ketika ditemui Malaysiapost di premis perniagaannya.

Mat Rodzi yang telah mengusahakan perkhidmatan pusat urut sejak 20 tahun lalu berkata, sebelum pandemik Covid-19 beliau menerima antara 300 hingga 500 pelanggan sebulan, namun kini kurang 100.
“Bisnes kini ibarat nyawa-nyawa ikan, nak tampung kos terpaksa berjimat, pendapatan pekerja juga berkurang kerana bergantung kepada pelanggan baru ada komisen,” katanya lagi.

Beliau mengakui, bantuan kerajaan one-off sebanyak RM3,000 sahaja, tanpa sebarang bantuan lain dan ia tidak mencukupi untuk menampung kos perniagaan dan membayar pekerja.
Berikutan itu, insan istimewa ini berharap kerajaan dapat mencari jalan untuk membantu golongan OKU agar perniagaan diusahakan tidak gulung tikar.
“Harap kerajaan pertimbangkanlah sekiranya ada peruntukan tertentu atau wujudkan tabung khas untuk bantu golongan OKU yang buka pusat urut ini.
“Sekurang-kurangnya kerajaan bantu dari segi pembayaran sewa atau lain-lain kos, yang dapat membantu kami terus bertahan,” katanya. – Malaysiapost

Mat Rodzi tabah menghadapi dugaan kekurangan pelanggan ketika PKPB sekarang. 
Pernigaannya tetap diteruskan untuk menyara hidup 
Mat Rodzi sedang membawa alatan urut ke bilik urut 
Mat Rodzi sedang mengurut pelanggannya 
Uchiha Shark, [02.12.20 15:16]
Beginilah nasib Mat Rodzi bersama pekerja-pekerjanya yang tiada pelanggan yang datang
Mat Rodzi tabah menghadapi dugaan kekurangan pelanggan ketika PKPB sekarang.

