
“ADAKAH munasabah bagi mereka yang ‘tengah lemas’ untuk tunggu tiga bulan lagi sehingga akhir Februari sebelum mendapat pelampung?” soal Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian merujuk syarat pengeluaran kemudahan i-Sinar yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam.
Najib berkata, beliau perhatikan bahawa selain syarat keperluan bukti dokumen dan tempoh masa pengeluaran juga menjadi satu masalah.
“Ramai yang sudah tunggu sejak bulan Oktober apabila saya dan Umno mula menyuarakan saranan ini.
“Tetapi pengumuman KWSP semalam bagi kategori 2 bermaksud: Ramai yang terdesak sudah tunggu sejak bulan Oktober, mereka perlu tunggu sehingga 11 Januari 2021 untuk memohon dengan pelbagai bukti dokumen.
“Lepas itu kena tunggu lagi dua hingga tiga minggu untuk dimaklumkan KWSP jika permohonan layak atau tidak,” katanya dalam hantaran di Facebook, sebentar tadi.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jika layak bayaran hanya akan dibuat sebelum akhir bulan berikutnya iaitu pada akhir bulan Februari.
“Sekarang awal bulan Disember. Adakah ianya munasabah bagi mereka yang tengah lemas untuk tunggu tiga bulan lagi sehingga akhir bulan Februari sebelum mendapat pelampung?
“Sedangkan mereka sudah berharap sejak bulan Oktober iaitu lima bulan dahulu” katanya.
Semalam, KWSP membahagikan pencarum yang layak untuk kemudahan i-Sinar kepada dua kategori.
Bagi Kategori 1, mereka yang layak termasuk ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.
“Kriteria bagi Kategori 1 meliputi ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut ketika permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas 1 Mac 2020,” katanya.
KWSP berkata, bagi Kategori 2, ia meliputi ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas 1 Mac 2020, yang mana pengurangan itu hanya boleh dikenalpasti melalui dokumen yang diberikan.
“Untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan; dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa.
“Jika dokumen tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan,” katanya.
Bagi kategori ini, ahli boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021. – Malaysiapost
