Muhammad Mustakim Ramli
KERAJAAN hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) di beberapa kawasan selepas terdapat penularan kes Covid-19 yang tinggi.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kawasan itu adalah di Zon A, Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah, Ipoh bermula esok sehingga 14 Disember 2020.
Katanya, Zon A, Taman Klebang Jaya membabitkan 1,061 rumah dengan 4,244 penduduk dan PKPD Taman Pinji Mewah pula melibatkan 1,430 rumah dan 44 unit premis dengan 5,720 penduduk.
“Selain itu, PKPD dilaksanakan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan bermula 2 sehingga 15 Disember melibatkan 1,209 individu terdiri 1,104 tahanan dan 105 kakitangan.
“Serta pelaksanaan PKPD di Kampung Desa Bajau dan Kampung Dasar Baru, Lahad Datu bermula 2 sehingga 15 Disember membabitkan 914 rumah dengan 4,934 penduduk,” katanya hari ini.
Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan PKPD Putra Point Nilai, Negeri Sembilan pada hari ini seperti dijadualkan.
Selain itu, katanya PKPD di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Yahyawiyah, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak juga ditamatkan hari ini.
“Dalam pada itu, ingin dimaklumkan PKPD di asrama pekerja Top Glove dilanjutkan selama 14 hari lagi bermula esok sehingga 14 Disember.
“Semua pekerja kilang diwajibkan menjalani saringan Covid-19 yang dijalankan klinik swasta serta dipantau dan diselia oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Selangor,” katanya. – Malaysiapost

