Muhammad Mustakim Ramli
KES harian positif Covid-19 kekal empat digit selepas merekodkan 1,212 lagi kes hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata jumlah berkenaan menjadikan keseluruhan kes Covid-19 di dalam negara setakat ini adalah 65,697.
“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu 402 kes (33.2 peratus), di mana 308 kes (76.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti Sabah sebanyak 326 kes (26.9 peratus) dan Negeri Sembilan 141 kes (11.6 peratus).
“Sebanyak 101 kes (8.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster PTS Sibuga (65 kes), Tembok (23 kes), PTS Tawau (8 kes), Matambai (3 kes), Penjara Seberang Perai (1 kes), dan Penjara Sandakan (1 kes),” katanya, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat 113 kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 42 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia adalah 360 kes,” katanya.
Beliau berkata, terdapat 362 kluster telah dilaporkan termasuk tiga kluster baharu yang dikesan pada hari ini.
“Jumlah kluster yang tamat pula adalah 181 kluster termasuk lima kluster tamat hari ini iaitu Kluster Sofi, Penjara Tapah, Kapor, Jambu dan Meldrum.
“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 181. Daripada jumlah tersebut, 41 kluster melaporkan pertambahan kes.
“Kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi hari ini adalah Kluster Perigi (153 kes), Bintang (71 kes) dan Cergas (66 kes),” katanya. – Malaysiapost

