Jika Sheila Majid tak letak jawatan, isu royalti dibawa ke PM – Karyawan

0
1

Nurul Huda Abhar

PERSATUAN Karyawan Malaysia (Karyawan) menegaskan satu petisyen telah dibuat mendesak agar Datuk Sheila Majid meletak jawatan sebagai Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM).

Pengerusinya, Datuk Freddie Fernandez berkata, sehingga kini 114 ahli RPM, terdiri artis tanah air telah menandatangani petisyen terbabit.

Katanya, sebuah badan iaitu Performer’s Rights Interest Society of Malaysia (Prism) turut bersetuju dengan cadangan berkenaan.

“Tetapi dia (Shiela Majid) diam. Saya juga meminta ahli Prism memberi mandat kepada saya. Sehingga kini 67 ahli Prism beri mandat kepada Karyawan untuk selesai masalah ini.

“Sebagai ahli RPM, saya ada hak untuk menuntut dan cuba nak gabungkan semua supaya bila buat tuntutan mereka semua diwakili,” katanya dalam sidang media di Damansara Heights di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, penyanyi, Datuk Khatijah Ibrahim; Vokalis Blues Gang, Ito Mohd; serta pemuzik dan komposer Mohd Rafi Shafie.

Freddie berkata, pihaknya akan menghantar petisyen berkenaan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebagai tindakan susulan.

Namun begitu, katanya, MyIPO telah membuat kenyataan sebelum ini yang isu itu diluar bidang kuasa mereka kerana melibatkan hak peribadi seseorang artis.

Jelas Freddie lagi, kenyataan MyIPO menyebabkan pihaknya sendiri kehilangan punca untuk meminta bantuan isu pengagihan bayaran royalti penggiat seni tanah air.

Mengulas lanjut, beliau secara jujur berkata jika permintaan perletakan jawatan Pengerusi RPM masih diabaikan, pihaknya akan menggunakan saluran teratas dalam negara iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, iaitu menerangkan hal ini kepada beliau.

“Beliau (Muhyiddin) juga ada anak bergelar artis, jadi mesti beliau akan faham dengan keadaan kami,” ujarnya lagi.

Beliau turut menafikan satu laporan media yang menyatakan lebih RM130 juta hasil kutipan royalti bagi tempoh tiga tahun sejak 2017 sudah diagihkan kepada tiga badan perlesenan, susulan pembubaran Music Rights Malaysia (MRM), Julai lalu.

“Apabila kami tanya pengurus besar RPM, Maisy Yoa dia kata MRM belum dapat apa-apa duit.

“Prism yang berada di bawah Jabatan Insolvensi (MDI) sudah pasti tidak dapat buat apa-apa kerana perkara ini masih di bawah MDI,” ujarnya lagi.

Sehingga kini, jumlah keahlian RPM adalah seramai 1,868 orang.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) dilaporkan telah memulakan siasatan berhubung maklumat yang dirujuk Freddie mengenai isu penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti penggiat seni tanahair.

Bayaran itu adalah kutipan daripada hak cipta lagu yang diterima daripada pengusaha industri bagi tujuan “public performance” di mana royalti yang dikutip tidak disalurkan kepada artis dan pencipta lagu.

Justeru, operasi telah dijalankan di empat pejabat yang dipercayai terlibat dalam proses kutipan royalti iaitu PPM, RPM, Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad dan Prism.

Setakat ini, SPRM telah mengambil dokumen- dokumen yang terlibat untuk kajian dan penelitian.

Malah, SPRM menerusi kenyataan memberitahu beberapa individu yang terlibat akan dipanggil untuk membantu siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here