KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini memuji tindakan terpuji Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang berbesar hati memohon maaf secara terbuka kepada semua petugas barisan hadapan.
Ia termasuk kepada Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah susulan kenyataannya yang menyebut Ketua Pengarah Kesihatan itu ‘takut mati’ kerana didakwa tidak turun ke Sabah ketika kes harian Covid-19 meningkat di negeri tersebut.
Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada King Sing kerana sudi mengadakan pertemuan bersama CUEPACS hari ini.
Katanya, walaupun telah melakukan kesilapan, King Sing tidak malu untuk membuat permohonan maaf.
“Dalam hal ini CUEPACS memahami tindakan YB Bintulu sebenarnya atas dasar mahu memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua petugas barisan hadapan di KKM dan semua agensi kerajaan sentiasa diberi perhatian sewajarnya.
“Sikap keprihatinan beliau sememangnya perlu dipuji walaupun tindakan tersebut sepatutnya perlu mengikut saluran yang betul,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu beliau dan pengurusan kanan CUEPACS mengadakan pertemuan dengan King Sing di Parlimen hari ini.
Baru-baru ini, King Sing dalam ucapan ketika perbahasan dalam Dewan Rakyat mendakwa Dr Noor Hisham sebagai individu ‘takut mati’ kerana gagal turun padang khususnya ke Sabah.
Beliau mendakwa, Dr Noor Hisham hanya mencari publisiti menerusi sidang media yang dikendalikan setiap hari dan gagal turun padang menangani Covid-19 yang melanda negara terutama Sabah.
Setelah diasak pelbagai khususnya pembangkang, King Sing akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka beberapa hari kemudian. – Malaysiapost

