TUJUH daripada 28 kilang pengeluar sarung tangan terkenal Top Glove di Klang diarah tutup dua minggu mulai hari ini sehingga 8 Disember.
Ia susulan ribuan kes positif Covid-19 membabitkan pekerja kilang itu yang menyebabkan kes harian di Selangor kini mencatatkan lebih 1,000 kes sehari.
Arahan penutupan sebahagian premis di Jalan Teratai itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), lapor Selangorkini.
Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Dr Masitah Mohamed berkata penutupan tujuh kilang itu adalah bagi fasa pertama dan sebahagian yang lain akan ditutup secara berperingkat melalui empat fasa.
“Dalam tempoh 14 hari penutupan ini, pihak pengurusan kilang perlu melakukan saringan Covid-19 kepada pekerja, nyah kuman serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya selepas menampal notis di Kilang F4 Top Glove Jalan Teratai, Klang hari ini.
Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 28 kilang Top Glove di Klang akan ditutup secara berperingkat.
Setakat Isnin lalu, seramai 2,524 pekerja kilang berkenaan disahkan positif Covid-19 bagi Kluster Teratai. – Malaysiapost

