
Fitri Nizam
KERAJAAN menjenamakan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dengan peranan dan fungsi berbeza.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah, berkata objektif J-Kom adalah untuk mengadakan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.
Katanya, ia berfungsi untuk menyampaikan maklumat kerajaan dengan tepat, sahih dan bijaksana selain mendengar maklum balas daripada rakyat.
“Kaedah yang digunakan ialah dengan cara membangunkan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna dan fokus patriotisme dengan menggunakan pendekatan ‘penghakupayaan komuniti’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin turut memaklumkan fungsi J-Kom juga berbeza dengan Jabatan Penerangan (Japen) kerana tugas utama J-Kom pada waktu ini adalah melaksanakan komunikasi strategik membudayakan normal baharu susulan pandemik Covid-19.
Japen pula, katanya bertujuan memberi kefahaman mengenai sesuatu dasar, program dan inisiatif kerajaan dengan keutamaan kepada komunikasi.
Beliau turut memberitahu peruntukan RM85.5 juta yang diberi kepada J-Kom menerusi Belanjawan 2021 akan diteliti semula dan dijangka diturunkan kepada satu jumlah baharu yang akan diumumkan kelak. – Malaysiapost
