Nurul Huda Abhar
SATU laporan polis dibuat terhadap bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berhubung kenyataannya yang didakwa mencurigakan yang disiar sebuah portal tempatan.
Laporan itu dibuat, bekas Presiden Keadilan Insan Tanah Air (Kita) Zamil Ibrahim di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah hari ini.
Beliau berkata, ia membabitkan artikel yang ditulis oleh Raja Petra Kamarudin dalam portal Malaysia Today.
Katanya, wujud kesangsian terhadap kandungan artikel tersebut membabitkan nasihat yang diberikan Zeti kepada Datuk Seri Najib Razak berkaitan sejumlah wang yang masuk daripada kerajaan Arab Saudi untuk bekas Perdana Menteri itu, beberapa tahun lalu.
“Wang tersebut dimasukkan ataupun dinasihatkan oleh Zeti ke akaun peribadi bukan dalam akuan parti Umno. Jadi nasihat tersebut diikuti oleh Najib sehingga membawa kes kepadanya (Najib) beberapa tahun yang lalu.
“Saya ingin tanya kenapa Zeti memberi nasihat yang salah kepada Najib. Sebagai bekas Gabenor Bank Negara tentu Zeti tahu nasihat yang perlu diberi kepada Perdana Menteri Malaysia ketika itu,” katanya.
Zamil berkata, jika nasihat yang diberikan Zeti kepada Ahli Parlimen Pekan itu salah, maka perlu apa yang perlu dipersolakan siapa yang mengarahkan beliau untuk membuat nasihat palsu itu.
“Laporan polis telah saya buat hari ini. Saya mohon polis menyiasat isu ini kerana mempunyai kepentingan awam dan satu penganiayaan jika benar nasihat yang diberikan adalah salah,” ujarnya.
Terdahulu, Malaysia Today dalam laporan bertarikh 14 November lalu melaporkan satu siasatan telah dibuat terhadap Zeti membabitkan dakwaan terlibat dengan jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
Portal berkenaan turut memberitahu siasatan juga telah mendapati Zeti tahu tentang derma sebanyak US$680 juta dari Arab Saudi dan beliau jugalah yang menasihati Najib untuk memasukkan duit itu ke dalam akaun peribadinya dan bukan ke dalam akaun Umno.
Malah, Zeti juga didakwa memberi kelulusan untuk duit itu dibawa masuk ke Malaysia. -Malaysiapost

