Najib hentam Shafie, sindir Annuar

0
2
Pix via Malaysiapost

Fitri Nizam

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi ‘menghentam’ Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berhubung kenyataan ‘sanggup mati di gelanggang politik’.

Najib berkata, Shafie langsung tidak menyesal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah daripada mengembalikan kuasa.

“Shafie langsung tak menyesal mengadakan PRN Sabah daripada mengembali kuasa sebagaimana dia rampas kuasa walaupun ia telah menyumbang kepada tercetusnya gelombang ketiga Covid-19 di seluruh Sabah dan Malaysia.

“Dia tetap sanggup mati. Dia kata biarkan dia mati dalam gelanggang politik walaupun ramai yang mati akibat Covid-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu dilaporkan sekali lagi mengeluarkan kenyataan ‘Saya rela mati dalam gelanggang politik daripada menyerahkan kerajaan. Biar rakyat tentukan’ ketika perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama, Najib dalam nada sinis berkata, beliau tidak mahu mengkritik Shafie berlebihan kerana satu laporan berita dibacanya pagi tadi.

“Tapi saya pun tak nak terlebih kritik Shafie sebab terbaca berita pagi ini bahawa kononnya ada kemungkinan kita akan bersama dia dan Atok (Tun Dr Mahathir Mohamad) dalam gabungan politik yang sama,” katanya.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa hari ini dilaporkan berkata negara memerlukan pembentukan ‘Gabungan Besar’ melibatkan 12 hingga 13 parti politik sealiran, demi penyatuan ummah.

Beliau turut mengusulkan untuk membawa bersama parti bebas atau yang menolak Pakatan Harapan (PH) seperti Warisan, Muda Malaysia, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan beberapa lagi parti politik bebas. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here