SEMUA yang terjejas akibat pandemik Covid-19 akan menerima bantuan, demikian menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, sambil menafikan salah tanggapan mengenai bantuan bayaran balik pinjaman bersasar.
“Salah tanggapan umum ialah tanpa moratorium menyeluruh, peminjam yang dalam kesusahan tidak akan menerima bantuan (sebaliknya) bantuan itu adalah untuk semua yang terjejas akibat pandemik itu termasuk lanjutan moratorium,” katanya kepada Bernama.
Mereka yang kehilangan pekerjaan terutamanya dalam sektor pelancongan sudah menerima moratorium menyeluruh selama tiga bulan, dan lanjutan akan diberikan sekiranya mereka menganggur.
Beliau berkata, bantuan itu dikekalkan untuk mereka yang memerlukan dan peminjam mempunyai pilihan kepada lebih banyak penyelesaian khusus untuk disesuaikan mengikut keperluan kewangan mereka.
“Satu lagi salah tanggapan umum ialah mereka memerlukan terlalu banyak dokumen.
“Bukan begitu. Bagi golongan B40, bank mempunyai akses kepada penerima BSH (Bantuan Sara Hidup) dan BPR (Bantuan Prihatin Rakyat). Oleh itu, bank dapat mengenal pasti (mereka),” katanya dalam taklimat kepada editor-editor kanan semalam.
Perusahaan mikro tidak perlu menyerahkan sebarang dokumen dan hanya dokumen minimum diperlukan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membantu bank memberi nasihat bersesuaian kepada peminjam
Setakat ini, seramai 640,000 permohonan bantuan sudah diterima dengan kadar kelulusan 98 peratus dengan 40 peratus menerima lanjutan moratorium, manakala 60 peratus lagi mendapat pengurangan ansuran.
Beliau turut menegaskan permohonan bagi semua bantuan bayaran balik pinjaman bersasar sebelum 30 Jun 2021 tidak akan terpapar dalam rekod CCRIS peminjam.
Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) adalah pangkalan data berpusat yang memberi gambaran kepada keadaan kewangan individu.
“Sekiranya mereka tidak berpuas hati terhadap apa-apa sahaja, boleh sentiasa membuat aduan kepada Bank Negara. Saya boleh memberi jaminan bahawa Bank Negara bertindak terhadap setiap aduan yang diterima,” katanya.
Ketika ditanya sama ada moratorium menyeluruh itu adalah satu kesilapan dan langkah moratorium bersasar sepatutnya diambil sejak awal lagi, beliau berkata:
“Tidak. Pada masa itu, itulah keputusan yang tepat memandangkan semua perkara terhenti sepenuhnya.
“Oleh itu, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adalah tepat untuk melaksanakan penilaian lebih meluas dan menyediakan bantuan serta-merta dari segi moratorium menyeluruh kepada semua isi rumah dan peminjam PKS.
“Ketika ekonomi menguncup hampir 30 peratus, itu adalah dasar yang tepat untuk meredakan kebimbangan yang sentiasa ada dalam ekonomi,” katanya.
Ekonomi Malaysia merosot 17.1 peratus pada suku kedua 2020 susulan pelaksanaan sekatan perjalanan keluar masuk di negara ini dengan mekanisme penguatkuasaan yang tegas untuk membendung Covid-19. – Malaysiapost

