Pendekatan PAS seperti “Hikayat Janji Seribu Satu Malang”

0
1

PARTI Amanah Negara (Amanah) Terengganu hairan dengan sikap pemimpin PAS kerana membidas mereka yang membuat cadangan balas melalui perbahasan Rang Undang Undang (RUU) Pembekalan 2021.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata tindakan itu seolah-olah tidak menghormati cadangan semula dan sesuatu rundingan tolak ansur dalam kalangan Ahli Parlimen.

Katanya, cadangan melanjutkan moratorium hingga Jun 2021 dan pengeluaran tidak bersasar dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mereka yang terjejas dengan kesan ekonomi pendemik Covid-19, dianggap tidak penting oleh Ahli Parlimen PAS.

“PAS menganggap cadangan rakan mereka dari Umno sebagai “Hikayat Puteri Gunung Ledang” sementara Pemuda Umno pula menyatakan ini adalah “Hakikat Sebenarnya”.

“Saya pula menganggap pendekatan PAS seperti “Hikayat Janji Seribu Satu Malang” – janji yang tak ditepati,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata PAS hari ini memungkiri banyak janji, misalnya ketika menjadi pembangkang, mereka merayu peluang diberi kuasa negeri dan persekutuan untuk melaksanakan RUU 355, Hudud dan membela pembunuhan anggota bomba, Allahyarham Adib.

“Namun kini setelah menjadi kerajaan Pusat, isu hudud, RUU 355 dan pembelaan kematian Adib pun semuanya tidak kedengaran lagi.

“Walaupun menggelar kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini sebagai kerajaan Islam-Melayu, bajet terkini memberi peruntukan amat sedikit untuk pengajaran Islam.

“Hanya RM29 juta diberi kepada sekolah tahfiz dan agama berbanding RM100 juta oleh kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu membelanjakan begitu banyak wang untuk kenaikan gaji Exco dan pelantikan ramai pegawai sendiri sementara rakyat sedang menderita.

“Gaji Adun di Kelantan dinaikkan RM3,000 hingga RM5,000 selepas mereka membeli kereta Mercedes semasa rakyat mengalami masalah ekonomi yang teruk. Perbelanjaan tambahan duit rakyat dengan tidak berhemah amat mengecewakan,” katanya. – Malaysiapost