Tekong darat, 13 PATI menyusup masuk Sabah ditahan

0
1

KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki cuba menyeludup masuk 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Beluran, Sabah, kelmarin.

Mereka ditahan ketika cuba menyusup masuk melalui jalan tikus di laluan Kota Kinabalu lama – Beluran semasa dalam perjalanan dari Beluran menuju ke ladang-ladang di sekitar kawasan berkenaan.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata lori dipandu lelaki tempatan berumur 40 tahun itu disyaki melalui jalan tikus tersebut bagi mengelak pusat pemeriksaan daratan Sapi Nangoh.

Menurutnya, lelaki itu bersama semua PATI ditahan sepasukan enam anggota Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) pada jam 8.40 malam, selepas melihat lori berwarna hijau tersebut dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan menemui 13 penumpang terdiri lapan lelaki dan lima perempuan yang gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kesemua PATI berumur sembilan bulan hingga 42 tahun termasuk tekong darat tersebut dibawa ke Balai Polis Beluran untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – Malaysiapost