1 lokasi di Pulau Pinang, 2 di Sabah ‘bebas’ PKPD

0
2

Fitri Nizam

KERAJAAN mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman dan Kuarters Pulau Pinang, Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah di Lahad Datu, Sabah, hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata pelaksanaan PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman di daerah Timur Laut ini dikuatkuasakan pada 15 Oktober lalu.

Katanya, sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan saringan terhadap 1,178 individu dengan 189 daripadanya positif Covid-19.

“Penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM mendapati situasi kes Covid-19 di penjara ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal di mana kes terakhir positif adalah pada 5 November.

“Atas nasihat dan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang pada hari ini, 11 November seperti yang telah dijadualkan,” katanya pada sidang media hari ini.

Berhubung Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah, Lahad Datu, Sabah pula, beliau berkata PKPD di lokasi ini diumumkan pada 13 hingga 26 Oktober.

Katanya, ia kemudian dilanjutkan pada 27 Oktober sehingga 9 November.

“Kemudian, pada 9 November kerajaan bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPD di kedua-dua kawasan ini sehingga 23 November. Pelanjutan dibuat atas nasihat dan penilaian KKM kerana masih menunggu keputusan sampel saringan yang belum diperolehi ketika itu.

“Bagaimanapun, sehingga 10 November, KKM mendapati kesemua keputusan 5,189 sampel saringan kedua telah diperolehi dengan kesemuanya adalah negatif.

“KKM juga mendapati tiada lagi kes baharu positif Covid-19 di kedua-dua lokaliti ini dalam masa 18 hari terkini,” katanya.

Justeru, beliau berkata, atas nasihat dan penilaian risiko yang dilakukan oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah, Lahad Datu, Sabah hari ini 11 November.
-Malaysiapost