Fitri Nizam
MEDAN 88, Salak Tinggi Sepang Selangor adalah lokasi terbaharu dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok sehingga 25 November depan.
Keputusan itu diambil susulan peningkatan kes positif Covid-19 yang dicatatkan di lokasi terbabit sejak 5 November lalu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata sehingga 5 November lalu, sebanyak 39 kes positif Covid-19 dicatatkan di kawasan berkenaan.
“Atas nasihat dan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Sidang Khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Medan 88, Salak Tinggi, Sepang, Selangor berkuatkuasa 12 sehingga 25 November.
“Pelaksanaan PKPD ini akan melibatkan sebanyak 88 unit rumah kedai, 284 premis dan seramai 800 orang penduduk,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, pelaksaan PKPD ini juga membolehkan KKM terus melaksanakan saringan bersasar dan mengawal pergerakan individu bagi memutuskan penularan Covid-19 dalam komuniti.
“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. Bagaimanapun, premis perniagaan bagi barangan keperluan asas dibenarkan untuk beroperasi,” katanya. – Malaysiapost

