NASIB wakil tunggal negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia musim ini di Doha, Qatar, menjadi persoalan kerana pergerakan ke luar negara masih tidak dibenarkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengesahkan skuad Harimau Selatan itu tidak dibenarkan untuk ke luar negara kerana polisi ketika ini tidak membenarkan pergerakan secara beramai-ramai ke luar negara.
Ismail berkata, pintu sempadan negara masih ditutup ketika ini sekali gus menyaksikan tiada pergerakan keluar masuk dibenarkan setakat ini.
“Polisi ini meliputi semua termasuklah pasukan bola sepak di mana kita tidak benarkan pergerakan ramai ke luar negara. Kita tidak tahu prosedur operasi standard (SOP) di negara terbabit.
“Jadi pertamanya, kita tidak benarkan kerana tertakluk pada polisi sempadan negara yang ditutup. Rakyat tidak dibenarkan keluar negara termasuklah menteri, jadi untuk bola sepak juga kita tidak benarkan.
“Ini untuk menjamin keselamatan pemain kita kalau mereka ke luar negara, kita tidak tahu SOP di luar bagaimana dan SOP kita tidak benarkan rakyat kita keluar negara,” katanya pada sidang media, hari ini.
Untuk rekod, saingan ACL bagi Zon Timur kembali bersambung pada 18 November hingga 13 Disember selepas ditangguh pada Mac lalu susulan pandemik Covid-19 dengan Doha akan menjadi lokasi kejohanan.
Skuad bimbingan Benjamin Mora itu dijadual bertemu Guangzhou Evergrande pada 19 November disusuli Suwon Bluewings (25 November), Vissel Kobe (1 Disember) sebelum aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu Guangzhou Evergrande pada 4 Disember.
Selepas dua perlawanan, JDT menghuni tangga kedua Kumpulan G apabila menghimpun tiga mata menerusi satu kemenangan dan satu kekalahan. – Malaysiapost

