Bukan soal ‘Hikayat Puteri Gunung Ledang’ tapi hakikat rakyat

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas yang menyifatkan sokongan bersyarat Barisan Nasional (BN) terhadap Belanjawan 2021 umpama ‘Hikayat Puteri Gunung Ledang’ .

Beliau berkata, perkara itu bukan soal ‘Hikayat Puteri Gunung Ledang’ , ini soal hakikat rakyat yang cuba Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) terutamanya Datuk Seri Najib Razak perjuangkan dan suarakan.

“Minta maaf ya sahabatku YB Pasir Mas! Ini bukan soal hikayat Puteri Gunung Ledang, ini soal hakikat rakyat yang cuba Ahli-Ahli Parlimen BN terutamanya Datuk Seri Najib Razak perjuangkan dan suarakan.

“Hakikatnya rakyat memang susah dan gelisah, rakyat memang ramai hilang pekerjaan, rakyat memang tak cukup wang untuk kehidupan” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, apa yang diminta dan disyaratkan oleh BN itu adalah perkara yang dimahukan rakyat.

“Bukan sesukar membina jambatan untuk Sultan mahupun hidangan nyamuk untuk dijadikan alasan menolak pinangan.

“Yang disyaratkan hanyalah untuk rakyat merasa wang mereka sendiri daripada caruman di Akaun 1 KWSP dan juga lanjutan moratorium bagi meneruskan kelangsungan hidup di tengah-tengah hambatan dan kesempitan yang begitu mencemaskan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Fadhli Shaari berkata keputusan BN meletakkan syarat menyokong Belanjawan 2021 supaya kerajaan meluluskan pengeluaran wang Akaun 1, KWSP dan lanjutan automatik moratorium tindakan janggal.

Beliau menyifatkan sokongan bersyarat dinyatakan Barisan Nasional (BN) oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam umpama hikayat Puteri Gunung Ledang.

“Saya mempunyai pandangan berbeza dengan ahli parlimen lain. Bantuan bersasar adalah lebih menepati keadaan dan keperluan rakyat selain mengekalkan kestabilan kewangan negara.

“Meletakkan syarat sokongan (KWSP dan moratorium) agak janggal kerana ia tiada keperluan dalam Belanjawan 2021.

“Ia macam dalam hikayat Puteri Gunung Ledang yang mengenakan syarat membuat jambatan, hidangan nyamuk sekian-sekian namun bukan bertujuan untuk terima pinangan tetapi petanda untuk tolak pinangan,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini. -Malaysiapost