KERAJAAN perlu memastikan tiada yang tercicir daripada menerima manfaat Belanjawan 2021.
Ketua Pergerakan Puteri Umno, Zahida Zarik Khan, berkata Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu adalah yang terbesar dalam sejarah membabitkan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion.
Beliau berkata, dalam situasi serba mencabar dalam usaha melawan pandemik Covid-19 ketika ini, negara memerlukan kerajaan yang cermat, prihatin dan sentiasa cakna pada keluh kesah rakyat.
“Bagi Barisan Nasional (BN) secara konsisten mahukan dua perkara besar iaitu membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua pencarum yang memerlukan dan lanjutan moratorium sehingga enam bulan mesti dilaksanakan.
“Ini adalah untuk memastikan rakyat terutamanya kumpulan B40 yang terkesan teruk akibat daripada kelembapan ekonomi ketika musim PKPB sekarang terbela dan suara mereka didengari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, apalah maknanya jika kerajaan mengumumkan angka berbilion-bilion tetapi masih ada tercicir daripada menerima manfaat daripadanya.
“Kami di BN sentiasa prihatin,sentiasa ambil berat tentang rintihan rakyat dan akan terus memantau rapat Bajet 2021 ini agar dapat memberi impak positif kepada kemajuan negara,” katanya.
BN hari ini, menyatakan pendirian untuk meletakkan sokongan bersyarat terhadap Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 dengan menuntut kerajaan meneruskan pemberian moratorium pinjaman secara automatik dan membenarkan pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP.
Menyatakan perkara itu, Datuk Seri Najib Razak yang berbahas bagi pihak BN di Dewan Rakyat hari ini berkata, lanjutan moratorium pinjaman secara automatik perlu diberikan sehingga 30 Jun 2021.
Bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) itu berkata, Belanjawan 2021 telah menyediakan keperluan rakyat namun berdasarkan kepada pengharapan rakyat ia perlu ditokok tambah lagi.
“Perlu dibuat penambahbaikan supaya penerimaan rakyat kepada belanjawan ini akan menjadi lebih mantap dan menyeluruh,” katanya. -Malaysiapost

