TAN Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara akan mengambil alih peranan hampir semua jawatankuasa berkaitan digital dan teknologi yang dipengerusikan beliau sebelum ini.
Perdana Menteri berkata semua majlis, jawatankuasa dan pasukan petugas digital dan teknologi yang dipengerusikan oleh menteri, pegawai kanan kementerian dan agensi akan diselaras atau digabungkan di bawah enam kluster yang baru diwujudkan.
Katanya, penubuhan majlis itu dengan struktur tadbir urus yang bersepadu bakal meningkatkan keupayaan negara dalam mengoptimumkan perkembangan teknologi 4IR atau Revolusi Perindustrian Keempat.
Selain itu, beliau berkata ia bagi memastikan pertumbuhan ekonomi digital sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Perdana Menteri berkata, majlis itu turut dianggotai menteri Kabinet berkaitan, wakil sektor awam, swasta, industri dan akademia.
“Ia akan menerajui usaha untuk mengekalkan kelestarian pembangunan negara dalam arus kemajuan global yang secara umumnya semakin menjurus kepada pendigitalan intensif merentas segala aspek ekonomi dan kehidupan,” katanya menerusi kenyataan.
Sebanyak 6 kluster telah dikenal pasti sebagai komponen penggerak agenda ekonomi digital dan 4IR yang akan dipengerusikan oleh menteri berkaitan. Kluster tersebut adalah:
i. Ekonomi (dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri);
ii. Bakat Digital (dipengerusikan Datuk Seri M Saravanan, Menteri Sumber Manusia);
iii. Masyarakat (dipengerusikan Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat);
iv. Infrastruktur Digital dan Data (dipengerusikan Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia);
v. Teknologi Baru Muncul (dipengerusikan YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); dan
vi.Kerajaan (dipengerusikan Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara).
Perdana Menteri berkata, digitalisasi adalah satu budaya yang kini menjadi antara norma baharu yang perlu diarusperdanakan di semua peringkat termasuk dalam sektor kerajaan, swasta dan masyarakat.
“Justeru, perancangan, penyelarasan dan pemantauan dasar di peringkat kebangsaan adalah amat penting serta perlu diberi perhatian.
“Pandemik Covid-19 menuntut kerajaan mempercepatkan pembangunan teknologi 4IR dan pelaksanaan ekonomi digital.
“Sehubungan itu, negara memerlukan suatu dasar yang jelas, usaha dan tindakan bersepadu serta kerjasama yang erat antara semua pihak atau whole-of-nation approach,” katanya.
Perdana Menteri turut mengumumkan sebuah Jawatankuasa Pemandu dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed juga diwujudkan.
Ia katanya, untuk memacu kolaborasi antara pelbagai kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda ekonomi digital dan 4IR yang berpandukan halatuju pihak Majlis.
“Semua Ketua Setiausaha atau Ketua Pengarah yang terbabit dengan keenam-enam kluster dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu mewakili Pengerusi Kluster masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

