Ahli Parlimen PJ keluar dewan bantah Najib

0
1

AHLI Parlimen Petaling Jaya dari PKR, Maria Chin Abdullah keluar dewan ketika Datuk Seri Najib Razak membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menerusi ciapan di Twitternya, Maria berkata beliau berbuat demikian sebagai protes kerana mendakwa seolah-olah tiada apa yang berlaku bagi bekas Perdana Menteri itu di sebalik kes rasuahnya di mahkamah.

“Najib Razak telah disabitkan bersalah dalam kes rasuah. Tapi hari ini, beliau hadir sebagai Ketua BBC (Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers Barisan Nasional.

“Dan berbahas belanjawan 2021 seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku. Saya protes dan sudah ‘walk out’,” katanya.

Sementara itu, semakan Malaysiapost di Facebook Maria mendapati warganet mengecam tindakannya keluar dewan.

Rata-rata menyatakan beliau sepatutnya berada di dalam dewan untuk mendengar perbahasan Najib dan mengemukakan hujah balas jika ada fakta yang tidak dipersetujui.

Pagi tadi dalam perbahasannya, Najib antara lain menyarankan kerajaan mempertimbang pengeluaran ‘one-off’ Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 kepada empat juta rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Beliau juga memohon kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman bank sehingga Jun 2021 dan termasuk golongan M40, selain meminta kerajaan tidak meneruskan peruntukan lebih RM81 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA). – Malaysiapost