Nilam Oshman
SEBANYAK 869 kes baharu Covid-19 dicatatkan dengan enam kes kematian direkodkan, hari ini.
Daripada jumlah itu, 868 kes tempatan dan satu kes import. Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kepada 42,050 kes setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, Sabah mencatat kes baharu tertinggi dengan 397 kes.
“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 258 kes dan sebanyak 28 kes yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan dengan kluster-kluster di pusat tahanan sementara dan penjara.
“Ini melibatkan Kluster Penjara Seberang Perai 13 kes, Kluster Penjara Kepayan enam kes, Kluster Pusat Tahanan tiga kes dan masing-masing dua kes di Kluster Penjara Sandakan, Kluster Rumah Merah dan Kluster JK Tawau” katanya dalam sidang media hari ini.
Dr Noor Hisham, berkata Selangor mencatatkan 236 kes, diikuti Negeri Sembilan (141), Pulau Pinang (27), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (19), Perak (12), Kelantan(9) masing-masing lapan kes di Johor dan Labuan.
“Manakala masing-masing tiga kes di Kedah dan Putrajaya,” katanya.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan 82 individu masih di unit rawatan rapi (ICU) di mana 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Terdapat penambahan enam kes kematian hari ini, justeru jumlah kumalatif kematian adalah 300 kes,” katanya. -Malaysiapost.

