POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa pelanggan perlu imbas kod aplikasi MySejahtera bagi membantu pihak berkuasa mengesan kontak rapat Covid-19 walaupun menggunakan kios layan diri di stesen minyak.
Memetik laporan China Press, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata ketika pelanggan tiba di stesen minyak, mereka diminta untuk imbas kod aplikasi MySejahtera walaupun tidak memasuki kedai serbaneka.
“Sekiranya mereka tidak mendaftar masuk atau mengimbas, bagaimana polis akan mengesan individu terbabit jika ada kes Covid-19 di daerah berkenaan?,” katanya.
Menurut Mior, stesen minyak adalah ruang awam yang padat dengan manusia.
Justeru, katanya, wajib bagi pengunjung untuk memakai topeng muka, imbas kod aplikasi tersebut, memeriksa suhu mereka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.
Ia susulan klip video tular, seorang lelaki mendakwa bapanya didenda RM1,000 kerana gagal imbas kod MySejahtera sebelum mengisi minyak walaupun memakai topeng muka.-Malaysiapost

