Piala Malaysia ditangguhkan buat sementara waktu – Ismail Sabri

0
1

Nilam Oshman

SAINGAN Piala Malaysia ditangguhkan sehingga satu tarikh diumum kelak, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bersetuju sekiranya diadakan perlawanan tersebut disebabkan risiko jangkitan Covid-19 tinggi melalui sentuhan.

“Saya minta maaflah kepada peminat-peminat bola sepak setelah dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, KKM merasakan bahawa pertandingan bola sepak walaupun tiada penonton tapi kerana ia akan menyebabkan berlaku sentuhan dalam kalangan pemain-pemain.

“Ia kerana mereka berpeluh, basah jadi sentuhan itu boleh dianggap lebih merbahaya dari keadaan yang biasa.

“Kalau badminton mungkin tidak ada (sentuhan) walaupun ada pertandingan tapi misalnya perseorangan ia tiada sentuhan. Namun, bola memang tidak dielakkan akan berlaku sentuhan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jadi, katanya, KKM memandangkan serius hal ini oleh kerana ia agak berisiko dan merbahaya terutama kepada pemain-pemain berkenaan.

“Lagipun setiap negeri telah ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, kita tak benarkan ada pertandingan.

“Maka mesyuarat membuat keputusan bahawa untuk pertandingan Piala Malaysia, kita bersetuju ditangguhkan pada satu tarikh yang lain, yang akan kita umumkan nanti.

Ismail Sabri turut meminta para peminat bola sepak supaya bersabar.

“Insya-Allah sama-sama kita mematuhi SOP…KKM dan frontliner sedang melakukan yang terbaik untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Jika kita dapat kurangkan jumlah kes dan kembali seperti biasa justeru pertandingan boleh diadakan tanpa penonton sekalipun,” katanya. – Malaysiapost