Rumah kongsi, depoh tahanan sementara punca penularan Covid-19

0
1

RUMAH kongsi dan depoh tahanan sementara didapati menjadi antara punca penularan wabak Covid-19 dalam kalangan warga asing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikannya hari ini, memberikan perhatian kepada kes penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja asing dan pekerja asing tanpa izin (PATI) di tempat tinggal atau depoh tahanan sementara yang semakin meningkat.

Katanya, beliau mengambil maklum antara punca jangkitan atau penularan dalam kalangan mereka adalah disebabkan kesesakan di dalam tempatan tinggal atau rumah kongsi serta depoh tahanan sementara itu.

“Saya difahamkan sesetengah rumah kongsi didiami sehingga 40 orang dan keadaan ini menjadi punca Covid-19 menular dan berjangkit dengan cepat.

“Keadaan yang sama turut berlaku di pusat-pusat tahanan terutama di Sabah yang terpaksa menampung jumlah kemasukan PATI yang sangat ramai,” katanya menerusi hantarannya Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berpandangan Kementerian Sumber Manusia perlu memaklumkan majikan terlibat dan menekankan tentang pentingnya penjagaan status kesihatan pekerja masing-masing selain pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Berhubung kos ujian swab bagi pekerja asing yang perlu ditanggung majikan, saya telah mengarahkan supaya perkara ini segera dibincangkan dengan terperinci dan dibentangkan oleh agensi-agensi terlibat pada sidang MKN akan datang,” katanya.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai SOP berhubung jumlah penumpang yang dibenarkan berada dalam kenderaan.

“Saya berpandangan jumlahnya tidak boleh berbeza-beza, perlu ada satu ketetapan yang selaras antara jumlah di dalam kenderaan persendirian dan kenderaan e-hailing,” katanya. – Malaysiapost.