Program edar barang perlu, LPG diperluas

0
3

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperluaskan Program Pengedaran Barang Perlu, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan ‘Community Drumming’ ke 34 kawasan baharu di seluruh negara, tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata inisiatif itu memberi manfaat kepada penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Melalui inisiatif ini, barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel dapat dinikmati oleh lebih 1.1 juta rakyat pada harga yang dikawal.

“Ini seiring dengan komitmen KPDNHEP bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, terutama di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada masa yang sama, KPDNHEP turut memperkenalkan Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik.

Katanya, program itu membuka peluang kepada rakyat menceburi bidang francais, khususnya francais mikro serta mampu milik sebagai inisiatif tambahan kepada Program Pembangunan Usahawan/Pembangunan Francais.

“Program Beli Barangan Malaysia juga boleh dimanfaatkan dan produk-produk tempatan dapat dikembangkan, khususnya produk dari Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera.

“Kesemua inisiatif dirangka itu jelas memperlihatkan elemen keterangkuman dan sifat inklusif kerajaan melalui KPDNHEP dalam membantu rantaian ekonomi domestik di semua peringkat yang berupaya membawa impak positif kepada golongan pengguna.

“KPDNHEP juga akan bekerjasama rapat dengan beberapa Kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC), Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) dalam membantu usahawan di bawah seliaan mereka, melaluiketerlibatan secara langsung Kementerian ini di dalam sektor peruncitan dan pengedaran,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, Belanjawan 2021 memperlihatkan konsistensi kerajaan menangani kemelut ekonomi susulan penularan Covid-19.

Beliau berkata, bersifat ‘Belanjawan Prihatin’ keseluruhan inisiatif pemulihan dirangka bersandarkan keresahan rakyat dari pelbagai golongan, khususnya mereka yang terkesan akibat penularan pandemik itu.

“Belanjawan ini sekali gus dapat menyuntik semangat baharu kepada semua pihak.

“KPDNHEP berpuas hati dengan peruntukan dana disalurkan dalam Belanjawan 2021.

“Kerajaan sentiasa berusaha memberi dan melaksanakan yang terbaik dalam fasa yang mencabar ini, “katanya. -Malaysiapost