Covid-19: Jangkitan baharu kekal 4 angka, 1,168 kes hari ini

0
2

Nurul Huda Abhar

KES baharu jangkitan Covid-19 kekal empat angka hari ini, iaitu 1,168 kes dengan keseluruhannya adalah penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah pesakit yang sembuh yang dicatatkan hari ini adalah 1,029 dan ianya menjadikan jumlah keseluruhan sembuh dan discaj adalah sebanyak 27,409.

“Dukacita dimaklumkan hari ini direkodkan tiga kematian, jumlah kes kematian setakat ini adalah 282.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, negeri Sabah masih mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu 616 kes, Selangor 247 kes, Labuan 105 kes, dan Negeri Sembilan 68 kes.

Tambahnya, pihak KKM turut mengenalpasti empat kluster baharu hari ini.

“Pesakit yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 87 kes.

“Manakala, pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan adalah 32 kes,” ujarnya. – Malaysiapost