LEBIH 20 kediaman dan 15 kenderaan rosak selepas puting-beliung melanda Kampung Yooi di Langkawi, tengah hari tadi.
Kejadian kira-kira 30 minit itu turut mengakibatkan pokok tumbang sehingga menyebabkan kesesakan di kawasan terbabit.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus, berkata kejadian ribut melanda bermula pada jam 12 tengah hari.
“Angin kencang mengakibatkan 17 rumah dan tiga kedai rosak, selain pokok tumbang merintangi jalan raya berhampiran Masjid Al-Aman, Kampung Yooi.
“Seramai 19 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi dan dua jentera dikejarkan ke lokasi bagi memberi bantuan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Shahfikri berkata, sebanyak 15 kereta yang di parkir di kawasan sama turut rosak, manakala jalan raya berhampiran lampu isyarat Kampung Chandek Kura dinaiki air.
“Anggota penyelamat terpaksa menggunakan gergaji berantai untuk memotong dahan pokok sebelum mengalihkan bagi membolehkan lalu lintas dibuka semula.
“Selain anggota APM, kerja membersihkan jalan raya dan kawasan terjejas turut disertai pasukan penyelamat lain,” katanya.
Sehingga kini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan pasukan penyelamat masih berusaha membersihkan jalan raya dan persekitaran terjejas. -Malaysiapost

