Belanjawan 2021 sepatutnya belanjawan kesihatan – Syed Saddiq

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

BELANJAWAN 2021 seharusnya menjadi sebuah belanjawan kesihatan dan memfokuskan penjagaan kesihatan sebagai tulang belakang, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, lebih-lebih lagi, isu kesihatan pada tahun ini sudah menjadi isu global dan paling kritikal di Malaysia.

Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), itu berkata malangnya, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyaksikan potongan besar dalam banyak sektor kesihatan utama dan Belanjawan 2021 tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah dalam institusi kesihatan negara yang kritikal.

“Pertama, bantuan one-off petugas kesihatan RM500. Saya kecewa dengan peruntukan yang terlalu kecil untuk petugas kesihatan negara. Sudahlah jumlah yang diberikan hanya RM500, ia pula terhad kepada 100,000 petugas kesihatan sahaja.

“Maksudnya, klasifikasi petugas kesihatan seperti penolong pegawai perubatan, jururawat, pembantu perawatan, juru-X-ray, farmasi, pegawai makmal, pemandu ambulans, inspektor kesihatan, pembantu kesihatan sudah tentu tidak akan menerima bantuan one-off RM500 ini,” katanya menerusi Facebook.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau dan Parti MUDA sudah cadangkan sekurang-kurangnya bonus dua bulan diberikan kepada semua frontliners kita.

Katanya, mereka wajib dihargai dengan kebajikan ekonomi, bukan sahaja ucapan terima kasih dan lukisan mural.

“Keduanya, potongan besar dalam sektor kesihatan kritikal lebih dari separuh berbanding Belanjawan 2020. Hampir semua peruntukan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan telah dipotong lebih dari separuh berbanding peruntukan Belanjawan 2020 yang lepas.

“Bagaimana kerajaan ingin memastikan kesihatan rakyat terus dilindungi jika semua peruntukan dipotong?

“Sudahlah Malaysia ini dikenali sebagai sebuah negara yang memberi jaminan perlindungan kesihatan yang baik untuk warganegara. Jika semua bahagian kesihatan dipotong peruntukannya, adakah tahun hadapan akan menyaksikan masalah dalam sektor kesihatan negara?,” katanya.

Syed Saddiq juga mempersoalkan adakah memberi wang RM500 terhad kepada 100,000 petugas kesihatan seluruh negara ini dan memotong sebahagian besar peruntukan penjagaan kesihatan dalam sektor kritikal adalah gambaran Belanjawan 2021 sebagai sebuah Belanjawan Kesihatan. -Malaysiapost