PKPB di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan, Pahang

0
2

Nurul Huda Abhar

SELURUH negeri di Semenanjung akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti terdapat peningkatan ketara bilangan jangkitan Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri-negeri tersebut yang dikenakan PKPB.

“Perlaksanaan PKPB ini membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di samping untuk mengekang penularan Covid-19.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) sama seperti yang telah yang diumumkan pada PKPB ditempat lain.

“Pergerakan keluar masuk dan pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan sama sekali kecuali kes-kes kecemasan yang perlukan kebenaran,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, untuk individu yang ada tugasan pekerjaan yang memerlukan untuk merentas daerah/negeri mereka hanya perlu menunjukkan surat pelepasan majikan atau pas pekerjaan.

Sementara itu, hanya dua orang sahaja yang dibenarkan untuk keluar rumah untuk membeli barangan keperluan.

“Bukan untuk membeli belah, melancong dan sebagainya. Keluar rumah hanya untuk beli barang keperluan. Jangan bawa mereka yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak bawah umur 12 tahun dan warga emas,” ujarnya. -Malaysiapost